Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Thursday 12 December 2013

25 OKTOBER

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

25 Oktober 2010.

“ Puteh, maafkan abang. Ini semua salah abang. Kalau abang tidak sibuk menjawap panggilan telefon semasa sedang memandu tempohari, tentu kita tidak terlibat dalam kemalangan tersebut dan kehilangan anak sulong kita yang sedang Puteh kandung. Maafkan abang Puteh!” Khalil menangis teresak-esak, sambil mengucup tangan Puteh yang masih kelihatan lemah itu.

“ Tak mengapa bang. Ini bukan salah abang. Ini semua takdir yang Allah telah tentukan untuk kita berdua. Puteh redha abang. Dan Puteh mahu abang pun redha juga. Insya allah, adalah hikmah disebalik semua ketentuan Allah ini,” Puteh dengan lembut memujuk suaminya Khalil sambil mengusap-ngusap tangan suaminya.  

Khalil mengesat airmatanya dan menggenggam kedua belah tangan isterinya di dalam tangannya. “Puteh, abang tak boleh maafkan diri abang Puteh. Hukumlah abang! Abang memang layak terima hukuman sebab buat Puteh jadi macam ni!” Khalil terus menarik kedua belah tangan isterinya ke mukanya dan digunakannya tangan itu untuk menampar-nampar mukanya sendiri.

“ Abang, cukuplah bang. Cukuplah. Puteh sedikit pun tak salahkan abang. Ini semua memang sudah Allah takdirkan untuk kita. Kita kena redha bang. Allah ambil anak itu dari kita untuk jadi ‘harta’ kita di akhirat nanti bang insya allah. Yakinlah bang, itu janji Allah,” Puteh terus memujuk suaminya itu.

Dan Khalil terus memeluk erat tubuh Puteh.

*****

25 Oktober 2011.

Khalil merenung air laici yang terletak di atas meja di hadapannya. 

"Abang, apa yang dimenungkan tu? Sampai tak nampak Rozi kat depan abang ni?" Rozi menyapa kekasihnya itu dengan nada manja.

"Eh! tak ada apa-apa sayang. Kerja banyak kat pejabat hari ini. Itulah rasa pening sikit. Dah buat pesanan makanan?" tanya Khalil kepada Rozi, bakal isterinya itu.

"Dah. Macam biasa, nasi goreng tomyam satu untuk Rozi dan nasi goreng cendawan satu untuk abang, betul kan?" tanya Rozi lagi sambil memandang muka Khalil yang duduk di hadapannya dan melemparkan senyuman manja.

" Ya, betullah tu. Pandai buah hati abang ni," puji Khalil kepada Rozi, gadis manis dari utara yang  sudah mencecah umur 27 tahun itu.

Sebagai seorang Pengurus Kanan di jabatan sumber manusia sebuah bank terkemuka di ibunegara, memang menjadi salah satu tugas Khalil untuk menjadi penemuduga calon-calon pegawai baru bank tersebut.

3 bulan lepas, semasa mengendalikan salah satu sesi temuduga, Khalil mengenali Rozi, seorang graduan yang baru menamatkan pengajian di universiti luar-negara. Kepetahan dan kepintaran Rozi menjawab setiap soalan yang dikemukakannya semasa sesi temuduga, berjaya ‘mengait’ hatinya untuk mengenali wanita muda tersebut dengan lebih rapat. Ditambah pula dengan perwatakan Rozi yang manja dan juga rupa parasnya yang manis, Khalil semakin bersemangat.

Dan setelah Rozi berjaya di dalam temuduga tersebut, Khalil sengaja menempatkan Rozi untuk bertugas sebagai penolong pengurus di jabatan yang sama dengannya dengan harapan dapat ‘terserempak’ selalu dengan wanita muda yang telah berjaya ‘memancing’ perasaannya itu.

*****

“ Puteh, abang ingin berkahwin lagi.  Dengan Rozi, kakitangan di jabatan abang yang abang pernah ceritakan pada Puteh dulu.  Puteh, abang ingin punya anak, zuriat abang sendiri. Abang harap Puteh faham,” jelas Khalil pada isterinya Puteh suatu petang selepas balik dari kerja  sambil menikmati  kueh karipap  hasil air tangan isterinya itu.
Menggeletar tangan Puteh yang sedang menuang air teh ke dalam cawan di hadapan Khalil. Airmata sudah mula bergenang di bibir matanya. Puteh mengetap bibirnya, menahan rasa sedih dan juga kecewa di dalam hatinya.

“ Puteh faham bang. Puteh sedar Puteh tak mampu melahirkan zuriat untuk abang. Walaupun  Puteh rasa sedih, tapi Puteh faham. Yang penting bagi Puteh, abang dapat  laksanakan tanggungjawab sebagai suami dengan baik bila sudah beristeri dua nanti. Jangan sampai abang lupakan Puteh, sudahlah,” sayu saja nada suara Puteh menjawap kata-kata suaminya itu.

Khalil tersenyum gembira mendengar jawapan dari Puteh. Hasratnya untuk memperisterikan Rozi semakin menjadi kenyataan.  Puteh termenung  jauh.

*****

“ Rozi tak mahu hidup bermadu! Tak mahu! Abang pilihlah salah seorang dari kami, Rozi ataupun Puteh!” bentak Rozi kepada Khalil.
“Tapi, Puteh sedia terima Rozi untuk menjadi isteri  abang. Dia tidak membantah. Dia faham keinginan abang. Dan abang harap Rozi pun sedia juga untuk hidup bermadu dengan Puteh. Boleh Sayang?”, Khalil cuba memujuk Rozi buat hatinya itu.
“Abang tak faham ke apa yang Rozi cakap ni? Rozi tak mahu hidup bermadu!”  Rozi terus memalingkan mukanya dari memandang Khalil. Khalil menggeleng-gelengkan kepalanya, runsing. Pada Rozi hatinya sudah terpaut, dengan Puteh hatinya masih sayang.

25 Oktober 2012.

Pagi-pagi lagi Puteh sudah ke pasar ditemani Mak Mah ibunya. Macam-macam dibeli Puteh di pasar hari itu.

“Puteh nak masak istimewa sedikit sempena harijadi Puteh hari ini mak. Abang Khalil kata dia ada hadiah untuk harijadi Puteh petang ni” Puteh tersenyum memandang ibunya.

Mak Mah hanya tersenyum saja memandang kerenah anaknya itu.

*****

" Maafkan abang Puteh. Abang tiada pilihan. Abang mahukan zuriat sendiri. Abang masih sayangkan Puteh tetapi Rozi tidak mahu hidup bermadu. Jadi, abang terpaksa ceraikan Puteh. Abang malu hendak melafazkannya di hadapan Puteh sendiri. Jadi, Puteh dengarlah baik-baik ya. Saat ini abang ceraikan Puteh dengan talak satu!" lafaz Khalil dengan suara yang lemah  melalui telefon.

Puteh tergamam. Gagang telefon yang terletak di telinganya tadi terlepas perlahan-lahan dari gengamannya. Perkataan cerai yang baru sahaja dilafazkan oleh Khalil,  ibarat petir yang menyambar dan terus menikam sanubarinya.

"Astaghfirullahalaazim. Ya Allah. Inikah hadiah harijadi dari suamiku untuk ku? Astaghfirullahalaazim." bisik Puteh perlahan-lahan. Airmatanya sudah tidak dapat ditahan lagi. Puteh duduk terperosok di sudut sofa disebelah meja telefon rumah itu. 

"Puteh! Puteh! Kenapa ni nak?" tanya Mak Mah kepada Puteh sambil menggoyang-goyangkan bahu Puteh perlahan-lahan.

Puteh diam tidak menjawab pertanyaan ibunya. Yang kedengaran hanyalah esak tangisannya disebalik kedua belah tangan yang menekup mukanya.

"Abang Aji! Abang Aji! Keluarlah sekejap dari dalam bilik tu. Tengokkan anak kita ni. Tiba-tiba menangis ni. Saya tanya tak mahu pula dijawabnya." Mak Mah memanggil suaminya, Haji Ramli dengan nada cemas.

Haji Ramli bergegas keluar dari bilik tidurnya dan dengan segera menuju ke ruang tamu. "Puteh! Puteh! Kenapa menangis macam ni? Ada apa ni nak? Cuba cerita kat abah dengan mak ni Puteh," kata Haji Ramli, memujuk anak kesayangannya itu.

Perlahan-lahan Puteh mengalihkan kedua belah tangannya yang dari tadi menekup mukanya.
"Abah..abang Khalil ceraikan Puteh tadi. Dia lafaz melalui telefon," jelas Puteh kepada abah dan maknya sambil  tersedu-sedu.

"Astaghfirullahalaaazim! Dah gila si Khalil tu? Tegah dek perempuan tu, sanggup dia ceraikan kau Puteh? Kurang ajar punya menantu!" Mak Mah mula meninggikan suara. Dalam hatinya geram benar dengan tindakan menantunya itu.

"Astaghfirullahalaazim! Awak ni pun Che Mah! Banyakkan istighfar! Jangan cakap ikut sedap mulut, ikut perasaan marah. Nanti menyesal." Haji Ramli menegur isterinya.

Mak Mah menjeling ke arah suaminya sambil mencebikkan bibir.

"Orang lelaki! Bila dah jumpa perempuan lain, yang halal jadi haram. Yang haram dibuat macam halal! Apa salah anak kita sampai diceraikan pula? Sebab kecuaian dia lah, cucu kita yang masih dalam kandungan mati dan anak kita tidak boleh mengandung lagi!" bentak Mak Mah kepada suaminya sambil tangannya memeluk bahu anak sulongnya itu.

"Sudahlah tu. Ini bukan masanya untuk cari salah sesiapa pun. Kita semua kena bawa bertenang dulu." Kata Haji Ramli cuba untuk menenangkan keadaan.

"Puteh, pergi ambil wudhu dulu ya? Lepas tu solat sunat 2 rakaat ya nak? Sebaik-baik tempat mengadu segala masalah hanyalah pada Allah. Bersabarlah dan berdoalah minta bantuan dari Allah ya nak?" Haji Ramli memujuk anaknya.

Puteh mengesat airmata di pipinya. Perlahan-lahan Puteh bangun dari sofa tadi. Mak Mah cuba untuk membantu, khuatir kalau anaknya rebah tiba-tiba.

" Tak mengapa mak, Puteh boleh bangun sendiri. Puteh nak masuk bilik dan pergi solat sunat dulu ya mak, abah?" kata Puteh meminta izin daripada kedua orang tuanya. Di dalam hatinya Puteh berbisik sendirian," 25 Oktober, tarikh 'kiamat' hidupku." Dan Puteh terus melangkah longlai menuju biliknya.

*****

Puteh termenung jauh memandang tasik yang tenang  di hadapannya. Semenjak  diceraikan Khalil, setiap petang Puteh akan memandu ke Taman Tasik  Permaisuri, dan setiap kali pasti Puteh akan duduk di bangku yang sama mengadap tasik tersebut. Puteh berasa damai di situ.

“ Aina! Jangan lari nak! Nanti jatuh dalam tasik tu, bahaya!” Kedengaran suara seorang lelaki menegur anaknya.

Puteh mengalihkan pandangannya ke sebelah kanan dan melihat seorang budak  perempuan yang comel sedang memegang bola sambil berlari-lari menghampiri tepi tasik tersebut. Khuatir akan keselamatan anak kecil itu, Puteh terus menyapanya sambil menarik tangan anak kecil itu perlahan-lahan ke arahnya. 
“ Mari sini dekat makcik. Jangan main dekat tepi tu, nanti jatuh ke dalam tasik, bahaya,” suara Puteh lembut menegur anak kecil itu. Si kecil bermata bundar dengan rambut bergulung kasar  itu memandang Puteh sambil tersenyum.

“ Siapa nama ni?” Puteh bertanya kepada si kecil yang comel itu.
“ Aina.” Jawab Aina sambil tersenyum memandang Puteh.
“Maaf Cik. Anak saya ni memang nakal sikit. Makin ditegur, makin pantas pula langkahnya,” jelas lelaki tadi kepada Puteh.
“ Tak mengapa. Budak-budak, memang macam tu. Namanya Aina ya? Cantik namanya. Macam orangnya.” Jawab Puteh pula.
“ Aina, jom ikut papa balik. Hari dah petang ni sayang. Jangan ganggu makcik tu ya?” lelaki tersebut cuba memujuk  Aina. Tapi semakin dipanggil papanya, semakin kuat Aina berpaut kepada lengan Puteh.
“ Aina tak mau balik. Aina nak duduk sini dengan makcik ni. Nak tengok ikan kat situ,” jawab Aina sambil jari comelnya menunjuk ke arah tepi tasik tersebut.
“ Janganlah begitu Aina. Jom ikut papa masuk kereta, nanti papa belikan aiskrim ya sayang?” Papa Aina terus cuba memujuk anaknya itu.
“ Tak mahu!  Aina nak duduk kat sini  dengan makcik,” bentak Aina sambil menghentak-hentakkan kakinya.
“ Tak mengapalah Encik. Biarlah Aina duduk sebentar di sini dengan saya. Saya pun bukan nak kemana-mana.” Jelas Puteh sambil memandang ke   arah lelaki tersebut.
Lelaki  tersebut mengeluh. Nampak benar rasa kecewa dengan kedegilan anaknya itu.
“ Berapa umur Aina ?” Puteh bertanya sambil memandang Aina.
“ 3 tahun lah!” Dengan petah Aina menjawab sambil menunjukkan 3 jari kanannya kepada Puteh.
Puteh tersenyum. Terhibur dengan keletah Aina. Papa Aina yang sedang berdiri tidak jauh dari bangku yang diduduki Puteh dan Aina, turut tersenyum.
“ Mama Aina tak datang sekali dengan Aina?” Tanya Puteh lagi kepada anak kecil itu.
Aina merenung wajah Puteh. Seolah-olah tidak faham dengan soalan Puteh itu. Aina kemudian berpaling kearah papanya, seperti meminta bantuan papanya untuk menjawab soalan Puteh itu.
“Aina, jom kita balik nak. Kesian Tok Mak tunggu Aina kat rumah.” Rayu papa Aina lagi tanpa menghiraukan soalan Puteh kepada anaknya tadi.
“Aina pergilah ikut papa ya? Kesian Papa Aina.” Puteh turut cuba memujuk anak kecil itu.
“Besok Aina jumpa makcik lagi kat sini ya?” Aina bertanya sambil menggenggam jari jemari Puteh.
“Insya allah, boleh.” Jawab Puteh sambil mencubit lembut pipi Aina.
Dan mata Puteh terus mengiringi pemergian Aina dan Papanya hingga hilang dari pandangan.
*****

Shafiq memandang Aina, anaknya yang sedang bermain di laman di hadapan rumahnya.
“Kasihan Aina. Masih terlalu muda untuk memahami keadaan ini.” Bisik hati kecil Shafiq.
“Tapi sampai bila aku perlu biarkan Aina begini? Aina perlukan belaian kasihsayang dari seorang ibu. Aku sentiasa sibuk dengan kerjaku. Dan ibuku semakin uzur dan tak mampu untuk mengasuh Aina selamanya.” Shafiq mengeluh.
“Shafiq, kenapa mengeluh ni?” Tanya Hajjah Rosnani kepada anak sulongnya itu.
“Tak ada apa-apa mak. Saja mengenangkan nasib  ni,” jelas Shafiq kepada ibunya.
“Jangan dikenang orang yang dah tak ada. Dah 3 tahun dah  arwah Liza meninggal. Kamu pun dah lama sangat membujang. Aina pun dah semakin membesar. Eloklah cari pengganti Liza dan juga ibu untuk Aina.” Hajjah Rosnani memujuk anaknya itu.
Shafiq terdiam mendengar kata-kata ibunya itu. Semenjak arwah isterinya Liza meninggal dunia selepas melahirkan anak sulong mereka, Aina, dunia Shafiq hanyalah Aina dan juga perniagaannya. Mujur ada ibunya Hajjah Rosnani yang sanggup duduk bersamanya dan membantu menjaga anaknya Aina. Tapi, sampai bila?
*****
Shafiq tercari-cari wanita yang sering dilihatnya duduk di bangku batu mengadap tasik di taman tersebut. Hampir setiap petang selepas balik dari pejabat, Shafiq akan membawa Aina bersiar-siar di taman tersebut. Dan entah mengapa, semenjak akhir-akhir ini, ianya menjadi satu rutin yang wajib untuk Shafiq membawa Aina ke sana.
Dan setiap kali melihat kelibat wanita berkulit putih kuning dan bertubuh sederhana itu berada di bangku tersebut, Aina pasti berlari-lari dengan gembira menuju terus ke dalam pangkuan wanita tersebut, seolah-olah Aina sudah lama mengenalinya.
Petang itu, Shafiq akhirnya memberanikan diri menyapa wanita itu, “maafkan saya, bolehkah saya bertanya sesuatu kepada Cik?” Tanya Shafiq kepada Puteh.
Puteh memandang wajah lelaki tersebut dari sudut matanya, dan perlahan-lahan menganggukkan kepalanya.
“Sebelum itu, saya Shafiq, papa Aina. Nama Cik?” Tanya Shafiq.
Senyap.
“Kalau Cik keberatan, tak mengapalah. Maafkan saya dan Aina kerana sering mengganggu ketenteraman Cik di sini,” Shafiq berkata lagi, seolah-olah merajuk.
“ Saya Puteh,” jawab Puteh perlahan.
“Alhamdullillah,” jawab Shafiq sambil tersenyum.
“Makcik, Aina nak tengok ikan kat sana,” pinta Aina kepada Puteh sambil menarik tangan Puteh untuk bangun mengikutnya ke tepi tasik.
“Aina! Jangan buat makcik macam tu,” Shafiq menegur anaknya.
“Tak mengapa Encik Shafiq,  bukan jauh pun,” lantas Puteh terus bangun dan memimpin tangan Aina untuk melihat ikan di tepi tasik tersebut.
Shafiq memandang telatah anaknya Aina dan Puteh. Ada perasaan baru berputik di dalam hati Shafiq.
*****
“Mak, Shafiq rasa Shafiq dah jumpa calon ibu untuk Aina mak,” kata Shafiq kepada Hajjah Rohani beberapa hari kemudian.
“Alhamdullillah! Betul ni Shafiq? Shafiq tak bergurau kan?” Tanya Hajjah Rohani meminta kepastian dari anaknya itu.
“Insya allah mak. Shafiq pun dah buat solat istiqarah. Alhamdullillah, Allah telah bantu Shafiq dan berikan petunjuknya.” Jelas Shafiq kepada ibunya itu.
“Alhamdullillah. Inilah berita gembira yang mak tunggu-tunggu selama ini Shafiq. Mak kenal ke orang nya ni Shafiq? Seingatan mak, semenjak arwah meninggal, Shafiq tidak ada berkawan dengan sesiapa. Shafiq asyik sibuk menguruskan perniagaan Shafiq dan juga Aina saja. Bila nak kenalkan dengan mak ni?” Tanya Hajjah Rohani seperti tidak sabar-sabar untuk mengenali bakal menantunya itu.
“Insya allah mak, dalam jangkamasa terdekat ni, Shafiq kenalkan dia dengan mak. Namanya Puteh mak,” Shaqif memberitahu ibunya.
*****
Petang itu, seperti yang dijanjikan, Shafiq pergi menemui Puteh di tempat biasa di tasik tersebut. Kali ini kehadiran Shafiq tanpa membawa Aina bersamanya.
“Aina mana? Tak dibawa sekali?” Tanya Putih kepada Shafiq bila dilihatnya Shafiq datang sendirian petang itu.
“Tidak, Aina ada di rumah saya dengan mak saya,” jawab Shafiq.
Puteh diam. Matanya terus memandang tasik di hadapan tempat duduknya itu. Timbul  rasa segan bila duduk berdua bersama Shafiq tanpa kehadiran Aina.
“Puteh, kita telahpun mengenali serba sedikit mengenai diri masing-masing. Saya perhatikan Aina pun sangat serasi dengan Puteh. Di rumah, Aina asyik bercerita mengenai Puteh kepada mak saya. Biarlah saya berterusterang Puteh. Sebenarnya, saya sendiri, sangat senang dengan kehadiran Puteh dalam hidup kami. Rasa seolah-olah, hidup saya bercahaya  semula. Susah saya nak gambarkan perasaan saya ini Puteh,” ucap Shafiq sambil memandang Puteh. Puteh tunduk . Pipinya bertukar menjadi putih kemerah-merahan sebaik mendengar pengakuan Shafiq itu.
“Puteh, sudikah Puteh menjadi isteri saya dan ibu kepada Aina?” Shafiq memberanikan diri bertanyakan soalan cepumas itu kepada Puteh.
Puteh masih menundukkan wajahnya. Dalam hatinya berdebar kencang.
Dan air tasik di hadapannya kelihatan berkilauan dengan tenang.

25 Oktober 2013.

“ Saya nikahkan kamu, Shafiq bin Abdul Rahman dengan anak saya, Puteh binti Ramli dengan mas kawinnya RM500/-, tunai!” ucap Haji Ramli sambil menjabat tangan Shafiq.

“  Saya terima nikahnya, Puteh binti Ramli, dengan mas kahwinnya RM500/- tunai!” lafaz Shafiq dengan tenang.

Dan tidak jauh di belakang Haji Ramli, kelihatan Puteh tersenyum sambil menitiskan airmata sambil memeluk Aina dan mencium pipi anak barunya itu.

Di dalam hati Puteh berbisik sendirian, " 25 Oktober, tarikh 'keramat' ku, alhamdullillah."


1 comment:

  1. Teringin pula nak tahu kisah Khalil dan Rozi...bahagiakah? dpt anakkah? Kalau buat babak mereka terserempak dan Khalil tu terkilan pun ok juga kan

    ReplyDelete