Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Tuesday 17 December 2013

LOYA?

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : dari koleksi Kasturi Puteh Googl

Entah mengapa, dari pagi tadi, selepas menghantar suami ke pintu depan rumah kami, hati rasa sedih dan sayu sahaja. Adakah perasaan ini datang melanda disebabkan oleh gangguan bekalan air yang bakal bermula bila-bila masa saja pagi ini? Tak mungkin. Kerana insya allah bekalan air yang di simpan di dalam tangki dan juga bekas air di rumah saya mencukupi untuk kami anak beranak. 

Oleh kerana tiada siapa pun di rumah hari ini kecuali diri saya sendiri, maka saya membuat keputusan untuk 'membawa' diri dengan memandu sendirian dan bersiar-siar di sekitar kawasan perumahan saya dengan harapan rasa sedih dan sayu ini akan 'terbang' keluar dari dalam sanubari saya ini. Oh ya! baru saya teringat. Saya perlu singgah ke pasar berhampiran rumah saya juga untuk membeli beberapa biji tomato dan juga sedikit daun ketumbar untuk saya gunakan dalam masakan Nasi Beriani Ayam saya untuk hidangan tengahari ini, insya allah.

Sambil memandu menuju ke pasar, mata saya memandang ke kiri dan ke kanan  jalan yang saya lalui. Sampai di satu simpang jalan, saya terlihat sebuah gerai, kelihatannya seperti gerai menjual nasi lemak. Saya tidak pernah melihat gerai itu di simpang jalan ini sebelum ini. Dan yang semakin menarik perhatian saya, saya melihat seorang lelaki Melayu sedang menggoreng kueh kegemaran saya : Kueh Karipap!
Inilah salah satu 'kelemahan' saya. Bila emosi saya tidak berapa 'stabil' (bukan gila ya!) dan bila datang 'angin pasang surut' dalam jiwa ini, maka perkara pertama yang akan saya cari ialah MAKANAN! Seolah-olah makanan ini boleh membantu untuk menjadi 'penenang' kepada jiwa saya dan penyumbang kepada 'kemontelan' saya. Astaghfirullahalaazim.

Lalu saya pun memberhentikan kereta saya di tepi gerai tersebut.

"Assalamualaikum," saya menyapa beberapa orang yang saya lihat berada di gerai tersebut.
"Waalaikumsalam," jawab seorang wanita Melayu berjubah hitam dan bertudung kelabu. Dari caranya, saya beranggapan beliaulah tuanpunya gerai ini. Beliau sedang sibuk melayan seorang lagi pelanggan yang sedang membeli nasi lemak.

Lelaki Melayu yang saya lihat sedang menggoreng karipap tadi terus memanggil seorang budak perempuan yang sedang duduk di dalam van yang terletak betul-betul bersebelahan gerai tersebut.

"Cepat keluar! Pergi layan orang nak beli tu!" perintah lelaki tadi kepada budak perempuan di dalam van itu. Mungkin anaknya barangkali.

Tiba-tiba yang melompat keluar dari van tersebut ialah seorang budak lelaki remaja. Saya memandang remaja lelaki yang sedang berdiri di tepi meja di hadapan saya. Beliau  berseluar hitam, yang sendat, memakai T-Shirt bewarna kelabu yang tertera dengan besar huruf YOLO di bahagian dada T-Shirtnya itu. Bila saya perhatikan lagi, saya dapati remaja lelaki ini memakai rantai di lehernya, juga seutas gelang emas putih (kalau tak silap saya) di pergelangan tangan kanannya.

"Makcik nak beli apa?" tanya remaja lelaki ini kepada saya. Barangkali beliau perasan yang saya sedang memerhatikan dirinya dengan teliti.
" Karipap ni sekeping berapa harganya?" tanya saya padanya.
" Sekeping 40 sen makcik. Nak berapa keping?" beliau bertanya lagi.
" Yang dalam bekas ni, inti apa? Dan yang dalam bekas tu, inti apa pula?" tanya saya lagi sambil menunjuk ke arah dua bekas berbeza yang terletak di atas meja.
"Ooooo, yang bekas hijau ni, karipap inti kentang. Yang bekas biru ni pula, karipap inti sardin. Makcik nak yang mana satu?" tanya anak muda itu kepada saya pula.
"Tolong bungkuskan untuk saya karipap inti sardin 2 dan yang inti kentang 2 insya allah," saya memberitahunya.

Dan saat anak muda ini memakai sarung tangan plastik untuk mengambil kueh karipap yang saya minta, barulah saya ternampak, kuku tangannya yang panjang tidak berkerat!

Ya Allah! Hilang sudah rasa sedih dah sayu. Singgah pula rasa mual dan loya! Saya baru saja 'uzur' minggu lepas, tak mungkin saya mengandung pula?




No comments:

Post a Comment