Bila jari jemari mulai 'menari'...

Segala yang tersirat di dalam hati, biarlah bertinta di sini.
Yang baik, dijadikan amalan.
Yang buruk, dijadikan sempadan.
Insya Allah.

Monday 16 December 2013

SAYA PELAJAR KELAS ASAS BLOG & PENULISAN KREATIF CIKGU MONALITA MANSOR!

TEKS        : Kasturi Puteh
GAMBAR : Google

Dari kecil saya memang suka membaca. Letaklah bahan bacaan apa pun di hadapan saya, dalam sekelip mata saya akan mencapainya dan cuba untuk menghabiskan bacaan saya secepat mungkin. Sehingga ada kalanya, saya sanggup tidak makan semata-mata untuk menghabiskan buku tebal yang sedang saya baca.


Apabila saya memasuki sekolah rendah, saya mulai cenderung menulis. Saya akan tulis apa saja yang terlintas di fikiran saya ; sajak, pantun, cerita-cerita dongeng mengikut imaginasi saya, pendekata, bila saja datang idea untuk menulis, saya akan menulis.

Bagaimanapun, apabila saya memasuki alam universiti, saya semakin jauh dari dunia penulisan saya. Kesibukan sebagai pelajar universiti, dan  selepas itu melangkah pula ke alam pekerjaan, membuat saya terus lupa kepada minat saya terhadap dunia penulisan.
Bagaimanapun, lebih kurang 2 tahun yang lepas, selepas Allah uji saya dengan kecederaan akibat dari satu kemalangan kecil dan setelah berbincang dengan suami, saya membuat keputusan untuk melepaskan  jawatan saya sebagai pegawai di salah sebuah bank utama di Malaysia dan menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Alhamdullillah.

Semenjak itulah, saya mula 'berjinak-jinak' dengan dunia penulisan semula. Saya mula membuat blog sendiri dengan cara 'mengintai-ngintai' blog orang lain, dan saya mula menulis ikut cara saya sendiri. Dengan kata lain, saya menulis ikut syok sendiri. Saya menulis menggunakan  bahasa Melayu (banyak masa juga di'rojak'kan dengan bahasa Inggeris) ikut stail pertuturan orang-orang muda zaman sekarang tanpa menggunakan bahasa Melayu yang sepatutnya (Bahasa Melayu Tinggi). Dan saya juga tidak ambil kisah langsung mengenai tatabahasa maupun tanda-tanda bacaan yang digunakan di dalam tulisan saya di dalam blog saya itu. Pendekata, blog saya memang 'caca marba'!

Bagaimanapun, pada 9/11/2013, saya berpeluang untuk menyertai satu Bengkel Penulisan Novel Islamik di Kuala Lumpur. Saya sendiri tidak menyangka yang suami saya mengizinkan saya menyertai bengkel tersebut. Biasanya beliau tidak begitu menggalakkan saya 'mendedahkan' diri saya untuk ke mana-mana kecuali dengan ditemani beliau atau pun salah seorang dari anak-anak lelaki saya. Jadi, saya sangat teruja bila membenarkan saya menghadiri bengkel tersebut, sendirian. Alhamdullillah.

Dan semasa menghadiri bengkel tersebutlah, semangat saya untuk menulis secara serius 'bangkit' kembali. Dan di dalam bengkel ini jugalah, Allah temukan saya dengan Puan Monalita Mansor, yang sekarang menjadi Cikgu dan pembimbing saya di dalam Kelas Asas Blog ini. Alhamdullillah.

Selesai menghadiri bengkel tersebut, saya dan Cikgu Monalita mulai berhubung melalui e-mel. Mulanya sekadar bertanya khabar, dan kemudian untuk berkenalan dengan lebih lanjut. Dalam pada itulah, Cikgu Monalita memperkenalkan saya kepada Kelas Asas Blog di bawah kelolaannya ini.

Dan pada tarikh 27/11/2013, saya dengan rasminya diterima masuk untuk menjadi pelajar 'paling senior' dalam Kelas Asas Blog kelolaan Cikgu Monalita...senior pada umur sahaja tapi dari segi ilmu, sayalah yang paling 'junior' dan jahil. Astaghfirullahalaazim.
Sebaik sahaja masuk kelas , Cikgu Monalita terus memberikan tugasan pertama untuk dilaksanakan. Masyaallah! Belum apa-apa lagi, terus saya 'dikerah' untuk belajar! Tergamam saya seketika, almaklum, sudah lama saya meninggalkan dunia pelajar, tiba-tiba di usia separuh abad ini, baru 'terhegeh-hegeh' nak menuntut ilmu pula. Astaghfirullahalaazim.

Bagaimanapun, disebabkan semangat yang semakin berkobar-kobar untuk menjadi penulis yang profesional, saya berusaha untuk mendisiplinkan diri saya dan mematuhi semua tugasan yang diberikan oleh cikgu saya.

Bukanlah mudah untuk menyesuaikan diri menjadi pelajar 'online' sambil sibuk menguruskan rumahtangga. Perlahan-lahan saya mula menyusun jadual waktu kerja saya di rumah dengan jadual waktu kelas 'online' saya. Kalau selama ini, semasa saya menulis syok sendiri di blog lama saya, saya memang lansung tidak berdisiplin. Tetapi semenjak menjadi pelajar dalam kelas 'online' saya ini,banyak perubahan yang baik terjadi kepada diri saya. Alhamdullillah.
Suami, anak-anak dan menantu-menantu saya agak terperanjat, tetapi gembira dengan perubahan saya ini. Barangkali, selama ini, sebelum saya menjadi pelajar semula, saya merupakan seorang isteri, ibu dan ibu mertua yang sentiasa 'mengganggu' mereka kerana saya tiada apa-apa untuk dibuat di rumah. Tapi bila saya sudah menjadi pelajar semula, timbul pula rasa khuatir dalam diri mereka kerana saya terlalu 'sibuk' dengan tugasan-tugasan yang perlu saya siapkan setiap hari. Sehinggakan untuk bercakap dengan saya melalui telefon pun agak payah, terutamanya semasa saya sedang 'fokus' menulis entri-entri untuk blog saya. Kasihan mereka.

Semakin lama saya semakin gembira menjadi pelajar di dalam kelas saya ini. Saya cuba sedaya upaya untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan mengikut jangkamasa yang ditetapkan oleh cikgu saya. Saya juga berpeluang untuk mengenali dan menimba ilmu daripada rakan-rakan 'sekelas' yang lain yang kebanyakannya lebih muda usianya dari saya tetapi lebih banyak pengalaman menulis dari saya. Bahkan ada yang sudah pun mempunyai novel hasil karya mereka sendiri yang telah diterbitkan! Masyaallah! Saya sangat mencemburui mereka!

Dan sekarang, saya masih lagi terus menjadi pelajar di dalam kelas ini. Alhamdullillah, kelas ini telah banyak mengubah cara saya menulis dan juga telah membantu saya untuk mendisiplinkan diri saya. Semuanya kerana saya mendapat bimbingan, sokongan dan teguran terutamanya dari cikgu saya, kawan-kawan sekelas saya dan sudah pasti, sokongan moral dari suami dan anak menantu saya juga memainkan peranan yang penting juga. Saya tahu perjalanan saya masih jauh untuk menjadi seorang penulis yang baik, tapi, insya allah, saya yakin, niat yang baik akan dimudahkan dan dibalas dengan ganjaran yang baik juga oleh Allah.

Cikgu Monalita, jazakumullahu khairan kerana banyak bersabar dengan 'orang lama'  seperti saya cikgu!











No comments:

Post a Comment